Username *
Password *
Remember Me

Baru balik kerja? Sibuk kan nak cari duit untuk bayar rumah, kereta dan macam-macam lagi? Ye la, saham dunia kena cari, bukan jatuh dari langit! Tapi, saham akhirat macam mana pulak? Dengan solat, sedekah, zakat, puasa semua tu korang yakin cukup ke pahala nak di bawa ke akhirat nanti?

Haa, kali ni admin nak share perkara-perkara yang boleh dilakukan untuk dapat pahala ‘extra’ di akhirat kelak. Senang je untuk korang semua amalkan!

1. Menyampaikan ilmu yang bermanfaat

Jika kita menyampaikan ilmu yang diperolehi kepada orang lain, ilmu itu berguna kepada mereka dan jika mereka mengamalkan ilmu tu, kita akan dapat pahala sehingga kita mati. Senang je tau nak collect pahala ni sebenarnya. Yang penting kena ikhlas dengan semua perkara yang dilakukan termasuklah menuntut dan tidak lokek memberi ilmu kepada orang lain. Saling tolong-menolong itu kan bagus!

2. Anak soleh dan solehah

Bila kita ada anak yang soleh dan solehah, insya-Allah anak-anak kita akan sentiasa mendoakan kita dan menjaga silaturahim dengan keluarga. Perkara ini juga adalah salah satu kunci untuk mendapatkan pahala dan saham extra untuk di bawa ke akhirat kelak tau. Jadi, didiklah anak kita sebaik mungkin, insya-Allah pahala kita akan melimpah ruah nanti!

3. Bersedekah – tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima

Antara sedekah yang korang boleh mula buat hari ini adalah sedekah senyuman, menyelesaikan masalah orang lain, membuang atau mengalihkan sesuatu yang telah menghalang laluan dan sebagainya. Sebab sedekah bukanlah semata-mata wang atau harta ye. Perbuatan yang baik juga dikira sebagai sedekah.

Oh ya, sedekah jariah pula dapat memberi pahala berterusan walaupun setelah seseorang itu meninggal dunia, contohnya amalan BERWAKAF.

Tazkirah 05 Ramadhan 1438H di Masjid Muhammad Ahmadi, Pintu Geng, Kota Bharu. Disampaikan oleh Ustaz Zainuddin Hj Mahmood.

Like FB Page Masjid Muhammad Ahmadi.

Tazkirah 04 Ramadhan 1438H di Masjid Muhammad Ahmadi, Pintu Geng, Kota Bharu. Disampaikan oleh Ustaz Zainuddin Hj Mahmood.

Like FB Page Masjid Muhammad Ahmadi.

Tazkirah 03 Ramadhan 1438H di Masjid Muhammad Ahmadi, Pintu Geng, Kota Bharu. Disampaikan oleh Ustaz Zainuddin Hj Mahmood.

Like FB Page Masjid Muhammad Ahmadi.

Dalam sedar tak sedar kita banyak melakukan kesalahan dalam menunaikan kewajipan kita kepada Allah SWT. Jom tonton video tentang kesalahan dalam melakukan rukun islam yang kedua ini...

Hukum Mencari Malam Lailatul Qadar
Sunat mencari lailatul qadar - Imam Nawawi

Sebab Dinamakan Al-Qadar
Kerana besar kadarnya (pahala)

Fadhilat Malam Al-Qadr

  • Malam diturunkan Al-Quran
  • Malam yang paling mulia
  • Malaikat dan Jibril naik turun ke bumi
  • Khusus untuk umat Nabi Muhammad SAW
  • Selamat sepanjang malam

Golongan Yang Tidak Memperolehi Ganjaran Malam Al-Qadr

  • Orang yang ketagih arak
  • Orang yang menderhaka kedua ibubapa
  • Orang yang memutuskan hubungan silaturrahim
  • Orang musyahin (tidak bertegur melebihi 3 hari)

Antara Tanda Lailatul Qadar

"Sesungguhnya tanda-tanda lailatul qadar bahawa malamnya bersih suci seolah-olah padanya bulan yang bersinar, tenang sunyi, tidak sejuk padanya dan tidak panas, tiada ruag bagi bintang untuk timbul sehingga subuh dan sesungguhnya tanda-tandanya matahari pada paginya terbit sama tiada baginya cahaya seperti bulan malam purnama"

Hadis riwayat Imam Ahmad dengan isnad jayyid daripada Ubadah bin As-Somit

Bilakah Berlaku Lailatul Qadar

Pendapat Imam Syafie dan Jumhur Ulama'

Malam ganjil 10 terakhir Ramadhan. Tidak berpindah hari sehingga hari kiamat.

 

Pendapat Sebahagian Ulama (Malam 27 Ramadhan)

ليلة القدر ليلة سبع وعشرين

Ertinya : "Malam al-Qadar adalah malam ke dua puluh tujuh"

(Riwayat Ahmad, Abu Daud, no 1386 )

Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimat. Kalimah "سَلَامٌ هِيَ" (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah yang ke 27. Oleh itu beliau menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27.

Sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimah Lailatul Qadr terdiri daripada 9 huruf. Dalam surah al-Qadr kalimah Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak 3 kali. maka 9x3=27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27.

Malik, ats-Tsauri, Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahwaih, Abu Tsaur, al-Muzani, Abu Bakar bin KhuzaimahMuzani berpendapat Lailatul Qadar itu berpindah-pindah pada sepuluh malam terakhir setiap tahun.

 

Pandangan Fathul Wahhab/Al Imam Al Syairani berpendapat

Awal Puasa Malam Lailatul Qadar
Jumaat Malam 29
Sabtu Malam 21
Ahad Malam 27
Isnin Malam 29
Selasa Malam 25
Rabu Malam 27
Khamis Malam 21

 

Jangan Tunggu Peristiwa Ganjil/Khurafat

Sebahagian masyarakat melayu masih berpandangan lailatul qadar wujud bila berlakunya perkara-perkara ganjil. Antaranya pohon sujud, bangunan-bangunan tidur, air tawar berubah masin, anjing-anjing tidak menggonggong, air telaga penuh, ada api di antara langit dan bumi dan beberapa perkara ganjil yang lain.

Amalan-Amalan Di Malam Lailatul Qadar

  • Mambaca Al-Quran
  • Mendirikan Solat
  • Beriktikaf
  • Mendirikan solat Terawih
  • solat tahajjud
  • solat Witir
  • Taubat
  • Zikir/Doa
  • Dan semua perkara baik...

وقالت عائشة ـ رضي الله عنها ـ : يا رسول الله إن وافقت ليلة القدر، فما أقول ؟ قال: قولي: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني

Ertinya : "Berkatalah Aisyah , Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa) ? Bersabda Nabi : " Sebutlah doa " Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan"

Wallahu'alam.

P/S : Kejarlah malam Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadhan. Bukan hanya pada 1 malam saja. Tak rugi pun. Malah menjadi bekalan untuk kita di akhirat kelak..

Sudah menjadi lumrah budaya masyarakat Melayu di Malaysia apabila tibanya bulan Ramadhan, masyarakat Melayu akan terbayangkan pesta makanan dan kuih muih untuk juadah berbuka, tidak kurang juga ada yang mempromosikan kek dan biskut raya dan lebih malang lagi ada yang sudah membuat persiapan menyambut syawal dengan pakaian baru, kain langsir baru, permaidani baru dan sebagainya. Berbeza bagi masyarakat arab, mereka berlumba-lumba menyediakan juadah berbuka untuk jemaah di Masjid-masjid selama sebulan di bulan Ramadhan. Malah ada yang menyambut kedatangan Ramadhan dengan membuat pintu gerbang tertulis "Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan" di rumah. Begitulah penghayatan masyarakat arab terhadap kedatangan Ramadhan. Oleh itu, kejarlah kelebihan yang ada dalam bulan Ramadhan ini. Dalam bulan Ramadhan sahajalah kita dapat menggandakan pahala kita agar dapat disetarakan dengan umat-umat terdahulu yang rata-ratanya berusia beratus-ratus malah ada yang beribu-ribu tahun.

Antara persediaan yang boleh kita lakukan....

1. Mengkhatamkan Al-Quran

Tingkatkan azam agar dapat mengkhatam Al-Quran sekurang-kurangnya sekali dalam bulan bulan Ramadhan. Dalam bulan-bulan lain kita diberi ganjaran 10 pahala bagi setiap huruf Al-Quran yang dibaca berdasarkan hadis

Daripada Ibnu Mas’ud r.a. Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada al- Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud : Alif , Lam , Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”.

(Hadis Riwayat Ad Darimi Tarmizi, beliau berkata hadis ini hasan sahih)

 

Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dari Salman Radhiallahu ‘anhu, katanya:
Rasulullah SAW berkhutbah di hadapan kami pada hari terakhir daripada bulan Syaaban. Baginda bersabda yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya kamu dinaungi oleh bulan yang sentiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan; bulan yang Allah telah menjadikan puasa-Nya suatu fardu dan qiam di malam harinya suatu tatawwu’ (ibadah sunat). Barang siapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan suatu fardu di bulan yang lain. Dan barang siapa yang menunaikan suatu fardu dalam bulan Ramadan maka samalah nilainya dengan orang yang mengerjakan 70 fardu pada bulan yang lain.”

Petua untuk mengkhatamkan Al-Quran dalam bulan Ramadhan

Andaikan sebulan Ramadhan = 30 hari
Jumlah muka surat Al-Quran = 604
Dengan itu setiap hari kita perlu membaca dalam 20 muka surat [ 604/30=20 ]
20 muka surat tersebut kita bahagikan pula dengan 4 waktu solat (ditolak waktu maghrib untuk berbuka puasa) [ 20/4 = 5 ]
Oleh itu dengan 5 muka surat Al-Quran setiap kali selepas solat, kita akan dapat mengkhatamkan Al-Quran dalam masa sebulan.

Ganjaran membaca Al-Quran

Menurut An-Nafasi di dalam kitab Majmu al Ulum wa Mathli’u an Nujum dan dikutip oleh Imam Ibn ‘Arabi dalammukaddimah al-Futuhuat al Ilahiyah menyatakan jumlah keseluruhan huruf di dalam Al-Quran adalah 1 027 000.
Jumlah huruf dalam sebuah kitab Al-Quran = 1 027 000.
Ganjaran pahala membaca Al-Quran = 1 027 000 X 10 = 10 270 000.
Oleh itu jumlah keseluruhan ganjaran membaca Al-Quran di bulan Ramadhan adalah jumlah huruf x ganjaran setiap huruf x ganjaran fardhu di bulan Ramadhan. 1 027 000 X 10 X 70 = 718 900 000!!!
Belum lagi dikira kalau jatuh pada malam lailatul qadar yang mana ganjarannya lebih baik daripada 1000 bulan.

Para salaf mendahulukan bacaan al-Quran daripada ibadah lain. Sebahagian salaf khatam al-Quran dalam masa tiga hari, sebahagiannya tujuh hari dan 10 hari pada Ramadan. Saidina Uthman bin Affan khatam al-Quran setiap hari pada bulan Ramadhan.

2. Perbanyakkan zikrullah...

Allah Yang Maha Besar selalu mengingatkan kita di dalam kitab-Nya Al-Quran Al-Karim supaya berzikirillah seperti berikut:

“Dan sebutlah nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang, dan pada sebahagian dari malam, maka sujudlah kepadaNya dan bertasbihlah kepadaNya pada bahagian yang panjang di malam hari.”

Surah 76: Al Insan, Ayat 25 & 26

Berzikir adalah perkara yang mudah dilakukan. Kita boleh berzikir dalam kerja harian kita dengan bertasbih (Subhanallah) , bertahmid (Alhamdulillah). bertakbir (Allahu Akbar), bertahlil (Laa ilaha illallah) dan beristighfar (Astaghfirullah hal Azim). Contohnya semasa memandu ke tempat kerja, memasak dan lain-lain. Zikir yang paling besar fadhilatnya adalah dengan bertahlil Laa ilaha illallah.

Antara fadhilat zikir Laa ilaha illallah:

  • Pengamal akan mendapat syafaat dari Rasulullah SAW. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Dari Abu Hurairah r.a. berkata : Telah bersabda Rasulullah SAW : Yang akan mencapai kebahagiaan dan keuntungan melalui syafaatku ialah orang yang mengucap kalimah Lailahaillallah dengan hati yang ikhlas.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

  • Mendapat jaminan masuk Syurga. 

Dari Zaid bin Arqam Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Barangsiapa yang mengucapkan ‘Lailahaillallah’ dengan ikhlas, dia akan dimasukkan ke dalam syurga.” Lalu ditanya kepada baginda SAW, “Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan ikhlas itu?” Rasulullah SAW bersabda, “Ikhlas itu ialah yang mencegah dari melakukan perbuatan-perbuatan yang haram.”

(Hadis riwayat at-Tabarani)

  • Tidak akan dimasukkan ke dalam api Neraka. 

Dari Umar r.a. meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Aku mengetahui satu kalimah yang tidaklah seorang hamba pun yang mengucapkannya dan membenarkannya dengan hati kemudian ia mati dengannya melainkan haramlah ke atasnya Neraka Jahanam. Kalimah itu ‘Lailahaillallah.’”

(Hadis riwayat al-Hakim)

  • Amalan zikir tersebut mendapat timbangan yang lebih berat dari amalan-amalan yang lain. 

Dari Abi Abas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Demi yang diriku di tangan-Nya, jika sekiranya segala langit dan bumi dan siapa yang ada padanya dan apa-apa yang ada di antaranya dan apa-apa yang ada di bawahnya diletakkan di sebelah dacing dan kalimah ‘Lailahaillallah’ di sebelah yang lain, maka dacing kalimah ‘Lailahaillallah’ itulah yang lebih berat.”

(Hadis riwayat at-Tabarani)

  • Merupakan anak kunci Syurga. 

Muaaz bin Jabal Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Anak-anak kunci syurga ialah mengakui kalimah ‘Lailahaillallah’.”

(Hadis riwayat Imam Ahmad)

 

3. Perbanyakkan sedekah

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:" Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan". 

Mungkin ini yang menjadi masalah untuk melakukan sedekah sebab menggunakan modal. Tapi ramai yang lupa kita banyak membazir dengan membeli pelbagai juadah dan kuih muih untuk berbuka puasa. Setiap umat Islam seharusnya berlumba-lumba untuk memperbanyakkan sedekah di bulan Ramadhan tanpa memikirkan sebarang kerugian kerana balasan di atas setiap satu kebajikan itu adalah amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak. Bersedekah bukan hanya memberikan wang, tetapi termasuk di dalamnya mengajak berbuka puasa kepada fakir miskin dan orang-orang yang berpuasa.

Petua untuk bersedekah di bulan Ramadhan

  1. Beli kuih muih di bazar-bazar Ramadhan. Sampai di rumah, asingkan kuih muih tadi mengikut keperluan kita sahaja. Selebihnya kita sedekahkan di masjid/surau yang mengadakan program berbuka puasa.
  2. Menyumbangkan wang di tabung program berbuka puasa di masjid/surau. Semoga dengan itu kita akan mendapat ganjaran pahala memberi makan untuk orang yang berpuasa.

"Siapa yang memberi makan (saat berbuka) untuk orang yang puasa, maka dia mendapat pahala seperti pahala orang yang diberi makannya itu tanpa dikurangi sedikitpun dari pahalanya".

(HR At-Tirmizy, An-Nasai, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaemah).

4. Solat Sunat Terawih

Terpulang pada diri masing-masing sama ada nak buat 8 atau 20 rakaat. Hakikatnya janganlah sampai berbalah atas perkara yang remeh-temeh. Cuma yang penting hayati hadis berikut:

Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang bersolat bersama imam sehingga selesai (beredar), Allah akan merekodkan untuknya seolah-olah dia bersolat sepanjang malam"

[HR at-Tirmizi 806, dan dinilai Sahih oleh Shaikh al-Albani]

Kalau rasa tak mampu nak buat 20 rakaat, cari lah masjid/surau yang buat setakat 8 rakaat. Itu saja petua untuk mendapat ganjaran pahala solat sepanjang malam..

Wallahu 'alam... Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak...

Saya rasa sudah pasti ramai yang pernah mengalami situasi ini. Setiap kali habis sesuatu majlis pasti pengerusi akan menyebut seperti ini, “Kita sudahi majlis ini dengan tasbih kifarah dan surah al-Asr". Tahukah anda apa itu Tasbih Kifarah? Berikut adalah pengertian antara kifarah dan kaffarah.

PENGERTIAN

Kifarah bererti balasan Allah SWT ke atas hamba-Nya yang mukmin ketika hidup di dunia akibat daripada dosa-dosa yang dilakukan olehnya.

Kaffarah dari sudut bahasa (al-Kafru) yang bermaksud menutup. Dinamakan kafarah kerana ia menutup dosa dan mendapat keringanan daripada Allah SWT. Dari sudut Istilah ia bermaksud perbuatan yang boleh menghapus dosa yang berupa membebaskan hamba, bersedekah dan puasa dengan syarat-syarat tertentu. Ia juga suatu penampal kecuaian yang dilakukan oleh manusia dalam tindakkannya.

So, jangan salah maksud antara keduanya...

Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa yang duduk dalam satu majlis, dan melakukan banyak salah dan silap, maka sebelum dia meninggalkan majlis itu dia menyebut :

Subhanakallah humma wabihamdika asyhadu anla ilaha illa anta astaghfiruka wa atubu ilaik

 

Daripada Abu Barzah Aslami RA berkata: Rasulullah SAW pernah menyebut pada hujung usia baginda apabila baginda hendak bangun meninggalkan sesuatu majlis.

Maka berkata seorang lelaki: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau telah menyebut suatu ucapan yang mana tidak pernah engkau ucapkan sebelum ini”.

Berkata (Rasulullah SAW): “Ia merupakan kaffarah (penebus dosa) terhadap apa yang berlaku dalam majlis”

 

Di riwayatkan daripada Aisyah RA bahawa apabila baginda bangun daripada majlis, baginda akan membaca:

Saya bertanya: kenapa tuan sering membaca doa ini?

Baginda menjawab: “Sesiapa yang membaca doa ini pada penutup majlis maka akan di ampunkan kesilapan-kesilapan yang berlaku dalam majlis tersebut”.

Hadis dikeluarkan oleh Imam Tirmizi dari Abi Hurairah dan beliau mengatakan hadis ini hasan sohih. Imam Abu Daawuud juga ada mengeluarkan hadis yang sama makna dengan hadis ini dari beberapa orang sahabat.

Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Adapun amalan membaca Surah Al-Asr sebelum mengakhiri suatu majlis mungkin diambil dari amalan para sahabat Nabi SAW ini:

At-Thabrani telah menyebutkan daripada Ubaidillah bin Hafs berkata: “Dua orang sahabat Rasulullah SAW apabila mereka berjumpa, mereka tidak pernah berpisah melainkan salah seorang membaca Surah Al-Asr sehingga akhirnya, kemudian mereka saling memberi salam antara satu sama lain”

Kelak anggota tubuh kita akan memberikan kesaksian atas perbuatannya selama berada di dunia. Tangan, kaki dan anggota badan lain akan berbicara sehingga mulut tidak dapat membantah dan berbohong. Hakim yang kita hadapi kelak bukanlah hakim yang dapat disuap dengan wang sebagaimana yang terjadi di dunia. Tiada yang mampu menolong diri kita kecuali rakaman iman dan amal kebajikan kita sendiri.

Sebagaimana firman ALLAH :

Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; tangan mereka akan berkata kepada Kami dan kaki mereka akan memberi kesaksian terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.

Surah Yasin : 65

Dalam satu kajian neurologi, dibuktikan bahawa sel-sel otak mampu menyimpan pelbagai informasi dan pengalaman yang terakam sejak kita kecil yang umumnya sudah dilupakan. Ketika eksperimen pembedahan otak, dimana yang berkenaan tetap sedar, ternyata ketika dirangsang sel-sel saraf tertentu, mampu menceritakan berbagai pengalaman sewaktu kecil. Eksperimen ini mengukuhkan teori bahawa semua yang pernah kita ketahui dan fikirkan terakam dalam rangkaian saraf otak. Jadi, apa yang dikatakan Al-Quran tadi semakin diperkuatkan oleh eksperimen saintifik.

Teori bahawa tubuh merakam dapat kita lihat dalam kehidupan kita sehari-hari. Seseorang yang selalu solat tepat pada waktunya, maka ketika berkumandang azan, tubuh seperti mempunyai biological clock untuk segera menunaikan ibadah Solat, walaupun dalam keadaan sakit sekalipun. Contoh lain boleh kita lihat daripada pengalaman pemandu bas ekspress. Mereka dengan mudahnya melalui jalan-jalan berliku, seolah-olah mereka menghafal betul bila dan di mana harus membelok.

Bahkan menurut para saintis, ada lebih 70 kes yang dilaporkan daripada pesakit tranplant yang meniru sebahagian keperibadian penderma organ mereka. Seluruh sel tubuh kita ibarat hard disk yang merakam dengan baik semua ucapan, fikiran, perbuatan kita. Memori ini sudah direkod di sana dan sedia dipanggil pada bila-bila masa saja.

Meskipun terpadam, mudah saja bagi pakar komputer untuk mengesan bekas-bekas data yang sudah ada dalam hard disk dengan kaedah dan bahasa tertentu. Oleh kerana sel tubuh kita ini mampu merakam apapun yang kita lakukan, maka, sangat logik untuk membayangkan anggota tubuh kita dengan mudah saja menjadi saksi tentang segala perbuatan yang pernah kita lakukan nanti di hadapan Allah SWT.

Sedekah
 

Oleh kerana itu, marilah kita membiasakan diri untuk melafazkan kata-kata yang baik, selalu berzikir dan mengingati Allah, membiasakan diri mengerjakan solat, berpuasa dan bersedekah, serta berbuat baik kepada sesama makhluk, sebab semua itu akan dirakam dalam memori kita sepanjang hayat, baik ketika hidup di dunia, menjelang sakaratul maut atau selepas ajal kita.

Husnul khotimah (penghujung yang baik) di saat kematian kita itu tidak boleh diraih dengan tiba-tiba. Ia tak boleh dipaksa dan dibimbing oleh orang lain dengan mudah kerana diri kitalah yang menentukan sama ada kita sanggup mendapatkan pengakhiran yang baik atau tidak.

Pada pertengahan tahun 1975, Presiden Perancis menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramasses II yang sangat terkenal. Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya.

Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris. Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan majlis keramaian. Ini termasuklah apabila Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka. Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille.

Bucaille adalah seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi. Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat.

Kesempatan untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun ini di manfaat sepenuhnya oleh Bucaille. Beliau mengerah seluruh tenaga dan pengalamannya untuk membongkar misteri di sebalik kematian raja Mesir kuno itu. hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menjumpai sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu tidak buruk.

Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille. Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut? Beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang dipercayainya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.

Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (tajuk asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine). Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis.

Kisah Firaun Di Dalam Al-Quran

Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru.

“Jangan panik kerana sesungguhnya umat Islam telah mengetahui tentang peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga ke hari ini!”

Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya membongkar sesebuah misteri yang berlaku lama dahulu tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih.

Hakikatnya Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan. Beliau tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak 1400 tahun yang lalu.

Sambil mata tidak terlepas dari memandang mumia Firaun yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat menyatakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu. 

Adakah masuk akal, di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa? Apakah masuk akal Muhammad mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” kata hatinya sendirian.

Beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya menyatakan Firaun tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun.
Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah:

Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”.

(Exodus 14:28 dan Psalm 136:15)

Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam. Ini menjadikan beliau semakin kebingungan. Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka. Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri :

Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami.”

(Yunus: 92)

Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi. Lalu dengan hati yang begitu sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata :

Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.

Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan mengkaji seluruh isi al-Quran. Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.

 

Melalui buku ini (Muat Turun Versi English)(Muat Turun Versi Bahasa Melayu), Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya. Kata beliau : 

“Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran. Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden”

Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah.

Page 1 of 4