Username *
Password *
Remember Me
Lazada Malaysia

Persediaan Menyambut Ramadhan Al-Mubarak

Written by  Jul 05, 2013

Sudah menjadi lumrah budaya masyarakat Melayu di Malaysia apabila tibanya bulan Ramadhan, masyarakat Melayu akan terbayangkan pesta makanan dan kuih muih untuk juadah berbuka, tidak kurang juga ada yang mempromosikan kek dan biskut raya dan lebih malang lagi ada yang sudah membuat persiapan menyambut syawal dengan pakaian baru, kain langsir baru, permaidani baru dan sebagainya. Berbeza bagi masyarakat arab, mereka berlumba-lumba menyediakan juadah berbuka untuk jemaah di Masjid-masjid selama sebulan di bulan Ramadhan. Malah ada yang menyambut kedatangan Ramadhan dengan membuat pintu gerbang tertulis "Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan" di rumah. Begitulah penghayatan masyarakat arab terhadap kedatangan Ramadhan. Oleh itu, kejarlah kelebihan yang ada dalam bulan Ramadhan ini. Dalam bulan Ramadhan sahajalah kita dapat menggandakan pahala kita agar dapat disetarakan dengan umat-umat terdahulu yang rata-ratanya berusia beratus-ratus malah ada yang beribu-ribu tahun.

Antara persediaan yang boleh kita lakukan....

1. Mengkhatamkan Al-Quran

Tingkatkan azam agar dapat mengkhatam Al-Quran sekurang-kurangnya sekali dalam bulan bulan Ramadhan. Dalam bulan-bulan lain kita diberi ganjaran 10 pahala bagi setiap huruf Al-Quran yang dibaca berdasarkan hadis

Daripada Ibnu Mas’ud r.a. Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada al- Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud : Alif , Lam , Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”.

(Hadis Riwayat Ad Darimi Tarmizi, beliau berkata hadis ini hasan sahih)

 

Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dari Salman Radhiallahu ‘anhu, katanya:
Rasulullah SAW berkhutbah di hadapan kami pada hari terakhir daripada bulan Syaaban. Baginda bersabda yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya kamu dinaungi oleh bulan yang sentiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan; bulan yang Allah telah menjadikan puasa-Nya suatu fardu dan qiam di malam harinya suatu tatawwu’ (ibadah sunat). Barang siapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan suatu fardu di bulan yang lain. Dan barang siapa yang menunaikan suatu fardu dalam bulan Ramadan maka samalah nilainya dengan orang yang mengerjakan 70 fardu pada bulan yang lain.”

Petua untuk mengkhatamkan Al-Quran dalam bulan Ramadhan

Andaikan sebulan Ramadhan = 30 hari
Jumlah muka surat Al-Quran = 604
Dengan itu setiap hari kita perlu membaca dalam 20 muka surat [ 604/30=20 ]
20 muka surat tersebut kita bahagikan pula dengan 4 waktu solat (ditolak waktu maghrib untuk berbuka puasa) [ 20/4 = 5 ]
Oleh itu dengan 5 muka surat Al-Quran setiap kali selepas solat, kita akan dapat mengkhatamkan Al-Quran dalam masa sebulan.

Ganjaran membaca Al-Quran

Menurut An-Nafasi di dalam kitab Majmu al Ulum wa Mathli’u an Nujum dan dikutip oleh Imam Ibn ‘Arabi dalammukaddimah al-Futuhuat al Ilahiyah menyatakan jumlah keseluruhan huruf di dalam Al-Quran adalah 1 027 000.
Jumlah huruf dalam sebuah kitab Al-Quran = 1 027 000.
Ganjaran pahala membaca Al-Quran = 1 027 000 X 10 = 10 270 000.
Oleh itu jumlah keseluruhan ganjaran membaca Al-Quran di bulan Ramadhan adalah jumlah huruf x ganjaran setiap huruf x ganjaran fardhu di bulan Ramadhan. 1 027 000 X 10 X 70 = 718 900 000!!!
Belum lagi dikira kalau jatuh pada malam lailatul qadar yang mana ganjarannya lebih baik daripada 1000 bulan.

Para salaf mendahulukan bacaan al-Quran daripada ibadah lain. Sebahagian salaf khatam al-Quran dalam masa tiga hari, sebahagiannya tujuh hari dan 10 hari pada Ramadan. Saidina Uthman bin Affan khatam al-Quran setiap hari pada bulan Ramadhan.

2. Perbanyakkan zikrullah...

Allah Yang Maha Besar selalu mengingatkan kita di dalam kitab-Nya Al-Quran Al-Karim supaya berzikirillah seperti berikut:

“Dan sebutlah nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang, dan pada sebahagian dari malam, maka sujudlah kepadaNya dan bertasbihlah kepadaNya pada bahagian yang panjang di malam hari.”

Surah 76: Al Insan, Ayat 25 & 26

Berzikir adalah perkara yang mudah dilakukan. Kita boleh berzikir dalam kerja harian kita dengan bertasbih (Subhanallah) , bertahmid (Alhamdulillah). bertakbir (Allahu Akbar), bertahlil (Laa ilaha illallah) dan beristighfar (Astaghfirullah hal Azim). Contohnya semasa memandu ke tempat kerja, memasak dan lain-lain. Zikir yang paling besar fadhilatnya adalah dengan bertahlil Laa ilaha illallah.

Antara fadhilat zikir Laa ilaha illallah:

  • Pengamal akan mendapat syafaat dari Rasulullah SAW. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Dari Abu Hurairah r.a. berkata : Telah bersabda Rasulullah SAW : Yang akan mencapai kebahagiaan dan keuntungan melalui syafaatku ialah orang yang mengucap kalimah Lailahaillallah dengan hati yang ikhlas.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

  • Mendapat jaminan masuk Syurga. 

Dari Zaid bin Arqam Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Barangsiapa yang mengucapkan ‘Lailahaillallah’ dengan ikhlas, dia akan dimasukkan ke dalam syurga.” Lalu ditanya kepada baginda SAW, “Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan ikhlas itu?” Rasulullah SAW bersabda, “Ikhlas itu ialah yang mencegah dari melakukan perbuatan-perbuatan yang haram.”

(Hadis riwayat at-Tabarani)

  • Tidak akan dimasukkan ke dalam api Neraka. 

Dari Umar r.a. meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Aku mengetahui satu kalimah yang tidaklah seorang hamba pun yang mengucapkannya dan membenarkannya dengan hati kemudian ia mati dengannya melainkan haramlah ke atasnya Neraka Jahanam. Kalimah itu ‘Lailahaillallah.’”

(Hadis riwayat al-Hakim)

  • Amalan zikir tersebut mendapat timbangan yang lebih berat dari amalan-amalan yang lain. 

Dari Abi Abas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Demi yang diriku di tangan-Nya, jika sekiranya segala langit dan bumi dan siapa yang ada padanya dan apa-apa yang ada di antaranya dan apa-apa yang ada di bawahnya diletakkan di sebelah dacing dan kalimah ‘Lailahaillallah’ di sebelah yang lain, maka dacing kalimah ‘Lailahaillallah’ itulah yang lebih berat.”

(Hadis riwayat at-Tabarani)

  • Merupakan anak kunci Syurga. 

Muaaz bin Jabal Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Anak-anak kunci syurga ialah mengakui kalimah ‘Lailahaillallah’.”

(Hadis riwayat Imam Ahmad)

 

3. Perbanyakkan sedekah

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:" Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan". 

Mungkin ini yang menjadi masalah untuk melakukan sedekah sebab menggunakan modal. Tapi ramai yang lupa kita banyak membazir dengan membeli pelbagai juadah dan kuih muih untuk berbuka puasa. Setiap umat Islam seharusnya berlumba-lumba untuk memperbanyakkan sedekah di bulan Ramadhan tanpa memikirkan sebarang kerugian kerana balasan di atas setiap satu kebajikan itu adalah amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak. Bersedekah bukan hanya memberikan wang, tetapi termasuk di dalamnya mengajak berbuka puasa kepada fakir miskin dan orang-orang yang berpuasa.

Petua untuk bersedekah di bulan Ramadhan

  1. Beli kuih muih di bazar-bazar Ramadhan. Sampai di rumah, asingkan kuih muih tadi mengikut keperluan kita sahaja. Selebihnya kita sedekahkan di masjid/surau yang mengadakan program berbuka puasa.
  2. Menyumbangkan wang di tabung program berbuka puasa di masjid/surau. Semoga dengan itu kita akan mendapat ganjaran pahala memberi makan untuk orang yang berpuasa.

"Siapa yang memberi makan (saat berbuka) untuk orang yang puasa, maka dia mendapat pahala seperti pahala orang yang diberi makannya itu tanpa dikurangi sedikitpun dari pahalanya".

(HR At-Tirmizy, An-Nasai, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaemah).

4. Solat Sunat Terawih

Terpulang pada diri masing-masing sama ada nak buat 8 atau 20 rakaat. Hakikatnya janganlah sampai berbalah atas perkara yang remeh-temeh. Cuma yang penting hayati hadis berikut:

Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang bersolat bersama imam sehingga selesai (beredar), Allah akan merekodkan untuknya seolah-olah dia bersolat sepanjang malam"

[HR at-Tirmizi 806, dan dinilai Sahih oleh Shaikh al-Albani]

Kalau rasa tak mampu nak buat 20 rakaat, cari lah masjid/surau yang buat setakat 8 rakaat. Itu saja petua untuk mendapat ganjaran pahala solat sepanjang malam..

Wallahu 'alam... Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak...

Last modified on Tuesday, 25 April 2017 12:28

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Facebook

  1. Popular
  2. Trending
  3. Comments

Calender

« July 2017 »
Mon Tue Wed Thu Fri Sat Sun
          1 2
3 4 5 6 7 8 9
10 11 12 13 14 15 16
17 18 19 20 21 22 23
24 25 26 27 28 29 30
31